Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, penyediaan blueprint itu bertujuan mengenal pasti faktor, strategi serta cabaran dalam merealisasikan pembentukan ma­syarakat madani di Putrajaya.

“Blueprint ini akan dijadikan sebagai panduan kepada PPj dan agensi-agensi berkaitan selain menjadi kesinambungan kepada Pelan Tindakan Pembudayaan Nilai-Nilai Murni Putrajaya 2011-2015.

“Kerjasama ini diharap dapat merealisasikan dengan jayanya penduduk Putrajaya sebagai masyarakat madani contoh serta terbilang di Malaysia,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani MoA itu di sini.

Dalam majlis menandatangani MoA itu, PPj diwakili oleh Hasim manakala UKM diwakili Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali.

Menurut Hasim, proses penyediaan blueprint itu akan me­libatkan sebanyak 17 orang tokoh, pakar dan ilmuan meliputi enam bidang utama iaitu bidang tadbir urus, ekonomi; sosial; agama; infrastruktur dan pendidikan.

“Penyediaan blueprint ini juga turut melibatkan kumpulan fokus iaitu Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya, agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan.

“Sebanyak 1,000 orang res­ponden juga telah dipilih secara khusus dalam kalangan warga Putrajaya sebagai sampel kajian bagi mendapatkan persepsi mereka terhadap blueprint yang dirancang melalui edaran borang soal selidik,” katanya.

Dalam pada itu katanya, perkataan madani adalah dibina berasaskan pembinaan masyarakat Madinah oleh Rasulullah SAW yang menitikberatkan nilai-nilai ketamadunan, kemanusiaan dan juga nilai peradaban sejagat.