Premis yang beroperasi di Nusa Bestari, Bukit Indah dan Mutiara Rini itu didapati berselindung di sebalik kedai menjual kad tambah nilai dan aksesori telefon bagi mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya terbongkar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ismail Dollah berkata, Ops Pemotongan Bekalan Elektrik itu dijalankan bermula pukul 10 pagi di kesemua premis terlibat dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Katanya, operasi tersebut diadakan selepas pihaknya me­ngenal pasti premis yang terlibat menjalankan aktiviti judi dalam talian hasil risikan dan siasatan sejak beberapa bulan lalu.

“Hasil risikan dan siasatan dijalankan, kita dapati mereka ini bertindak licik dengan menjalankan aktiviti judi online ini berselindung di sebalik kedai menjual kad tambah nilai dan aksesori telefon.

“Pihak kita telah menghantar surat kepada pihak TNB supaya bekalan elektrik ke atas premis berkenaan dipotong bagi memastikan aktiviti judi dalam talian ini tidak berulang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Ismail berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik itu adalah pertama kali diadakan pada tahun ini mengikut peruntukan Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, sejak awal tahun hingga Julai lalu, IPD Iskandar Puteri telah menjalankan 71 serbuan bagi membanteras aktiviti perjudian di sekitar daerah ini.

“Dalam serbuan yang telah dijalankan, kita menahan seramai 533 individu termasuk 58 warga asing berusia antara 17 hingga 60 tahun dan merampas pelbagai peralatan judi serta wang tunai berjumlah lebih RM31,000,” katanya.