Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati pondok yang menggunakan kayu sepenuhnya itu lebih tersusun dan selesa berbanding sebelum ini.

Situasi itu, sekaligus mampu membangkitkan semangat pelajar yang terlibat dengan kebakaran itu untuk meneruskan pengajian de­ngan penuh semangat di madra­sah yang lebih dikenali dengan Pondok Gelang Emas tersebut.

Bagi mangsa kebakaran, Mohd. Hafizudin Helmi, 24, dia semakin bersemangat untuk meneruskan pengajian walaupun masih lagi terkenangkan 
kejadian itu.

“Semua itu, telah berlalu dan apa yang penting ketika ini, saya perlu fokus kepada pengajian dan mendalami seberapa banyak ilmu sebelum melangkah keluar.

“Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada semua pen­derma di atas sumbangan diluhurkan untuk mendirikan semula pondok yang musnah dalam kebakaran tersebut,” katanya di sini hari ini.

Kira-kira setahun lalu, lebih 60 pelajar Madrasah Ad-Diniah Yusufiah tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 40 buah pondok yang menjadi kediaman mereka musnah terbakar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, kesemua pelajar tersebut sedang mengikuti kuliah agama di sebuah masjid yang terletak kira-kira beberapa meter daripada kawasan yang menempatkan lebih 100 buah pondok pengajian Islam secara 
tradisional.

Seorang lagi mangsa Muhammad Ismail, 17, berkata, sebelum ini dia terpaksa menumpang di pondok milik salah seorang rakannya bagi meneruskan pengajian selepas terlibat dalam kebakaran tersebut.