Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Amer Awal berkata, langkah tersebut diambil sebagai usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh negara.

Jelasnya, dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan ketika ini, cabaran dihadapi semakin mencabar dan semua Ketua Polis daerah terutama berdekatan sempadan diminta mempertingkatkan pemantauan bagi menangani jenayah tersebut.

"Kita juga memohon kerjasama anggota masyarakat bukan hanya di bandar tetapi meliputi daerah-daerah kecil agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di tempat mereka.

"Pemimpin masyarakat seperti tuai rumah, ketua kampung dan lain-lain diharap ambil maklum keadaan di tempat mereka untuk bersama-sama membantu polis memerangi dadah yang hanya mendatangkan kerugian kepada diri, keluarga dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar Program Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Siri 1/2018 Peringkat Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan negeri, Datuk Zamani Hamdan dan Ketua JSJN negeri, Superintenden Sahar Abd. Latif.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia ( Pemadam) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membendung penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Sementara itu, Zamani memberitahu, keseluruhan dadah yang dirampas sejak 2008 hingga 2016 berjumlah 899.62 gram dengan bernilai RM137,662.20  akan dimusnahkan di Kuching Integrated Waste Management Park (KIWMP), Kampung Mambong, Padawan esok.

"Pelupusan barang kes ini melibatkan daerah Kuching, Kota Samarahan, Sri Aman, Betong, Mukah dan Kapit.

"JSJN Sarawak akan meneruskan misi memerangi dadah sebagai musuh utama negara dengan menguatkuasakan undang-undang menyekat, mengurangkan permintaan dan bekalan dadah," ujarnya. - UTUSAN ONLINE