Dalam kejadian pukul 7 malam itu, wanita tempatan berkenaan mendakwa tidak berniat untuk membunuh diri sebaliknya memanjat besi penghadang jambatan berkenaan atas arahan suara halus.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supe­rintenden Zaldino Zaludin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, anggota polis mendapati seorang wanita berusia 22 tahun sedang duduk di atas besi penghadang jambatan dipercayai cuba terjun. Dia kemudian dise­lamatkan dan dibawa ke balai polis.

“Siasatan awal mendapati suspek berselisih faham dengan salah seorang ahli keluarganya. Dia mendakwa pergi ke lokasi tersebut atas arahan suara halus bukannya untuk membunuh diri,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zaldino, suspek mendakwa dia mula berhalusinasi sejak tahun 2008 dan hanya menyedari kejadian yang berlaku semalam selepas diselamatkan oleh anggota polis.

Beliau menjelaskan, pihaknya turut menemukan lebih 10 kesan torehan pada lengan kiri wanita itu yang didakwa dilakukan sendiri sekiranya dia berada dalam keadaan tertekan.

Katanya, suspek kemudian dihantar ke hospital bagi tujuan pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh diri.