Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani berkata, buat masa ini, terdapat enam buah ronda Kelas PC termasuk dua buah bot ronda yang diterima oleh Pasukan Polis Marin hari ini.

"Penambahan aset bot ronda Kelas PC ini penting bagi memenuhi keperluan penugasan yang semakin mencabar melibatkan jumlah keluasan 159,167 kilometer  persegi meliputi Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dengan jarak sehingga 12 batu nautika dari pantai.

"Justeru, kami berharap pihak Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menambah jumlah bot ronda seperti ini kepada Pasukan Polis Marin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bot Ronda Fast Assault Craft (FAC) (PC 31 dan PC 32)  di Unikl- Mimet di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman dan Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah.

Menurut Acryl Sani, sekiranya permohonan lima buah bot berkenaan diluluskan, pihaknya merancang untuk menempatkannya di tiga lokasi melibatkan negeri Kelantan, Sarawak dan Sabah.

"Jika kita dapat lima lagi buah bot jenis ini, kami bercadang untuk menempatkanya sebuah di  Markas Operasi PPM Wilayah 3, Pengkalan Kubor, sebuah di Miri dan tiga buah lagi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Apa yang penting jika PPM berjaya menambah lima buah lagi bot jenis ini bererti kita mempunyai aset yang lebih efektif dan efisyen dalam membantu pasukan melibatkan penugasan di kawasan perairan," katanya.

Tambah beliau, bot ronda Kelas PC atau dalam pengkelasan baru pasukan itu, Police Fast Patrol  Craft ini merupakan bot ronda berkelajuan tinggi generasi baru yang mampu mencapai kelajuan tidak kurang 45 knot.

"Ia amat sesuai untuk tugas mengejar dan memintas bot penjenayah atau penceroboh serta menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas kapal selain mempunyai kelebihan dari segi kapasiti bekalan bahan api dan air yang besar," katanya.

Mengulas mengenai dua buah bot ronda Kelas PC yang diterima hari ini iaitu PC 31 dan PC 32, Acryl Sani berkata, ia merupakan projek yang diluluskan menggunakan peruntukkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Rolling Plan Kedua di bawah Kementerian Dalam Negeri dengan nilai kontrak RM23.2 juta. - UTUSAN ONLINE