Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, sebanyak lima jenis pokok, ia­itu durian, mangga, rambutan, pulasan dan betik ditanam di kawasan seluas 2.02 hektar menerusi program 'Leaf a Legacy'.

Menurutnya, program tersebut boleh menjadi satu platform pemangkin bagi perkongsian pengetahuan dan pergaulan di kampus selain pengunjung dapat menghirup udara segar serta menikmati hasil tanaman.

“Educity sebagai pemaju yang pada masa sebelum ini lebih menumpukan pembangunan dan landskap. Kami merasakan bahawa penanaman pokok adalah inisiatif yang dapat dijalankan untuk mengeratkan persaudaraan serta hubungan dengan pelajar termasuk dalam kalangan penuntut universiti di kawasan sekitar.

“Selain itu, usaha ini juga secara tidak langsung dapat memupuk keinginan memelihara alam sekitar, sekali gus menyumbang semula terhadap persekitaran, selain pada masa akan datang kita juga dapat merasai hasil tanaman itu,” katanya selepas merasmikan program berkenaan, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kamarudzaman Abdul Mubin.

Program 'Leaf of Legacy' mendapat kerjasama daripa­da dua universiti termasuk University of Reading Malaysia dan Newcastle University Medicine Malaysia.

Kamarudzaman menggalakkan lebih banyak pihak swasta mahupun korporat bersama-sama menganjurkan pelbagai program bermanfaat seumpama itu, sekali gus membolehkan pelajar bukan hanya memberi tumpuan dalam pendidikan di dalam kelas.

“JPN ada Program Ibu Bapa dan Komuniti (IBK). Apabila sebut komuniti, usaha ini melibatkan semua pihak,” katanya.