Rata-rata mereka menyifatkan penganjurannya memberi mereka platform untuk lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus berkongsi maklumat aktiviti serta perkhidmatan yang ditawarkan mereka.

Bagi Pengarah Savanna Management Sdn. Bhd. yang me­nguruskan Savanna Hills Resort, Nur Haziqah Maulizan, Pavilion Explore Johor memberi mereka peluang untuk memberi kese­daran mengenai produk syarikat.

“Ekspo ini satu aktiviti yang baik, malah kami juga dapat menggunakan platform ini untuk meuar-uarkan produk syarikat atau perkhidmatan yang ditawarkan. Kami turut mengadakan kuiz berkaitan perkhidmatan kami dengan menawarkan pelbagai hadiah kepada pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Golf Pelancongan Johor (JGTA), Ko­lonel (B) Mohd. Jamal Salleh berkata, penganjuran ekspo itu merupakan platform yang baik untuk memperkenalkan produk mereka, termasuk aktiviti dan program pelancongan golf yang diadakan di ne­geri ini.

“Kita mahu terus memartabatkan sukan golf yang sekarang boleh dinikmati sesiapa sahaja di negeri ini, sekali gus meletakkan nama Johor sebagai destinasi sukan golf terunggul.

“Ruang yang diberikan dalam Pavilion Explore Johor ini amat kita alu-alukan dan menjadi me­dan terbaik untuk lebih giat mempromosikan sukan tersebut kepada pengunjung,” katanya.

Bagi Pengarah Kompleks Kraf Johor, Nor Az­mi Ismail, pe­nganjuran ekspo itu memberikan pihaknya ruang memperbetulkan persepsi berkaitan produk kraf yang hanya tertumpu dalam penghasilan produk cen­deramata.

Menurutnya, pelancongan ber­kaitan kraf sebenarnya luas kerana konsep tersebut bukan hanya menawarkan bara­ngan kecil berupa cenderamata, ma­lah lebih daripada itu termasuk membina gazebo dan almari kayu.

“Kita gembira kerana diberikan peluang oleh Tourism Johor untuk menjayakan Pavilion Explore Johor ini kerana kita dapat berinteraktif secara langsung dengan masyarakat, sekali gus memaklumkan perkara yang kita lakukan,” katanya.

Selain itu, me­reka turut menganjurkan bengkel mini untuk mereka yang berminat mempelajari seni wayang kulit dan aktiviti pembuatan kraf lain yang mudah seperti rantai kunci.