Pengerusi Melaka Alive yang juga Penasihat Neuvo, Mohd. Nizar Mohd. Najib berkata, pengenalan persembahan teater berunsurkan lima dimensi (5D) itu merupakan tambahan kepada persembahan sedia ada berunsurkan sejarah kegemilangan Melaka yang diper­kenalkan sejak 2014.

Menurutnya, Pirate Adventure 5D yang terletak di Zon Warisan Dunia UNESCO di sini bermatlamat menyediakan pengalaman luar biasa kepada pengunjung melalui gabungan elemen teater dan pengambaraan serta teknologi latar belakang yang canggih.

“Melalui persembahan terbaharu ini, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman hidup lanun yang terkenal sewaktu zaman kegemilangan Melaka satu ketika dahulu.

“Dengan inisiatif ini, kami turut berhasrat menjadikan Melaka Alive sebagai tarikan utama bagi pelancongan teater dan pengembaraan di negeri dan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian ‘Teater The Pirate Adventure Melaka Alive’ yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Jalan Parameswara, Banda Hilir, di sini hari ini.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol dan Pengarah Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Datuk Joey Lim Hock Guan.

Jelas Mohd. Nizar, pelancaran Pirate Adventure 5D merupakan hasil inovasi dan usaha pihaknya dalam mengintegrasikan kemodenan dan kebudayaan selain menghiburkan pengunjung dengan pendekatan berbeza serta dibantu teknologi moden seperti kesan khas pancutan air, bunyi dan api.

Sementara itu, Idris berkata, kerajaan negeri melihat peningkatan konsisten pengunjung domestik dan antarabangsa datang ke negeri ini hingga mencecah seramai 15 juta orang.

“Kami percaya ‘Melaka Alive’ akan terus menyumbang kepada pertambahan bilangan pelancong ke negeri ini malah kerajaan negeri akan menggunakan platform pelancongan negeri sepenuhnya untuk membantu meningkatkan publisiti tarikan penuh dengan ilmu, sejarah serta hiburan yang bersesuaian untuk semua peringkat umur ini,” katanya.

Pirate Adventure telah memulakan persembahan sejak 15 Ogos lalu dan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 7 malam manakala pada Jumaat hingga Ahad ia dilanjutkan sehingga 9.30 malam dengan bayaran sebanyak RM25 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak).