Hasni Mohammad

Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, PH juga bertuah kerana mewarisi negeri yang mempunyai kedudukan kewangan sangat kukuh dan berpotensi menjadi kuasa ekonomi selatan negara.

Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini juga telah pun mengenal pasti perkara kritikal yang mesti diberikan perhatian dalam usaha membangunkan Johor seperti beralih menjadi kerajaan digital, membangunkan ekonomi kreatif dan Pelan Pembangunan Strategik Johor (PPSJ) secara berfokus.

“Jadi, jelaslah bahawa PH mewarisi Johor yang maju dan diurus­kan dengan cemerlang dan bukannya negeri miskin, yang bermasalah dan tidak mempu­nyai halatuju.

“Justeru, kami berharap kese­mua pencapaian negeri Johor sebelum ini mestilah digandakan dan ditambah baik oleh PH, memberi nilai tambah dan sumbangan tersendiri,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, sekadar mewarisi negeri yang baik, tetapi tidak menjadikannya lebih baik, pastinya memalukan, malah jika kedudukan serta pencapaian itu tidak ditambah baik, sudah pasti akan menjadi satu bukti kegagalan besar yang amat mengaibkan kepada Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan negeri.

Justeru, sejujur­nya pihak BN teruja dan amat menantikan pembentangan oleh Menteri Besar tentang pelan pembangunan ekonomi jangka masa pendek dan panjang untuk Johor.

“Pelan yang akan dibentangkan nanti diharap adalah pelan yang akan menyentuh halatuju pembangunan Johor secara mendasar serta lengkap dan bukan sekadar menukar nama atau me­ngitar atau mempakejkan semula pelan yang dibuat BN sebelum ini.

“Harap-harapnya tidaklah PPSJ dibentangkan pula sebagai Pelan Pertumbuhan Strategik Harapan Johor (PPSHJ),” katanya.