Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman berkata, program tangungjawab sosial universiti yang julung kali diadakan itu bagi membantu pembantu am universiti tersebut berikutan ketidaktentuan harga bahan api berkenaan.

“UTM mempunyai seramai 350 pembantu am pejabat di kampus induk di Skudai di sini dan 100 lagi di kampus Kuala Lumpur dan tugas mereka ini memerlukan mereka bergerak dalam dan luar kampus menggunakan kenderaan terutama­nya motosikal.

“Justeru, inisiatif yang dijalankan kelab ini bertepatan dengan masanya demi meringankan beban kewangan dalam kalangan ahlinya,” katanya kepada pemberita selepas menye­rahkan baucar dan mengisi petrol percuma bersama ahli kelab berkenaan di sebuah stesen mi­nyak di Taman Universiti, Skudai di sini hari ini.

Azlan berkata, baki ahli kelab itu akan menerima baucar sama secara berperingkat dan pihak­nya berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan lagi pada masa depan.

Sementara itu, Pengerusi kelab, M. Zulkafli Mhd. Hanafiah berkata, idea program ini timbul setelah kelab itu memperoleh keuntungan hasil penganjuran Bazar UTM sejak 2014.

“Kelab menyedari tuntutan tugas ahli kami memerlukan mereka bergerak untuk menghantar surat dan lain-lain urusan di dalam dan luar kampus menggunakan kenderaan terutama­nya motosikal.

“Sebab itulah kami fikir adalah wajar untuk kelab membantu ahlinya dengan harapan dapat meringankan sedikit beban kewangan mereka,” katanya.