Acara tahunan yang memasuki edisi kelima itu disertai 1,200 peserta menggunakan 256 rakit yang bertanding dalam dua ka­te­gori iaitu perlumbaan rakit dan rakit berhias.

Program anjuran Pusat Khid­mat Parlimen Larut dengan kerjasama Perbadanan Nasional Bhd. (PNS), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu membabitkan laluan Sungai Siputih sejauh empat kilometer bermula dari Kampung Teluk Mas hingga pekan Sungai Bayor, Selama dekat sini.

Lebih menarik, acara tersebut mencatat nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai penyertaan peserta paling ramai dalam pertandingan rakit.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tujuan penganjuran pesta rakit ialah untuk memperkenalkan Selama kepada rakyat negara ini serta mengekalkan tradisi penggunaan rakit.

Katanya, penganjuran kali ini lebih istimewa kerana pihak MBOR dijemput untuk mengiktiraf acara ini sebagai penyertaan paling ramai dalam pertandingan rakit.

“Di samping mencipta rekod, pesta unik ini juga akan mempertahankan penggunaan rakit yang dibuat menggunakan buluh agar generasi muda mengenali dan ti­dak melupakannya.

“Selain itu, pesta ini juga dapat menarik pengunjung dari seluruh Perak, negeri berhampiran serta negeri lain yang berminat dengan sukan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, pesta rakit bukan hanya disertai penduduk tempatan.

“Pesta ini semakin popular apabila menarik peserta dari Kelantan, Kedah serta Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, pemenang bagi kategori perlumbaan rakit membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, tempat kedua RM2,000 manakala tempat ketiga RM1,500.

Bagi kategori menghias rakit, pe­menang membawa pulang wang tunai RM1,000, tempat ke­dua RM700 dan ketiga RM500.

Seorang peserta, Mohd. Iskandar Ismail, 30, berkata, pes­ta tersebut bukan sahaja me­ngekalkan budaya tradisi ma­syarakat dahulu, tetapi juga mengeratkan hubungan penduduk di Sungai Bayor.

Menurutnya, memang setiap ta­hun, masyarakat di sini menanti-nantikan acara tersebut kerana mereka dapat berkumpul beramai-ramai.

“Pesta tahun ini lebih meriah dan saya bangga kerana pesta ini dapat masuk MBOR. Nama Sungai Bayor akan dikenali,” katanya.