Wanita ini menganggap Allahyarham (Adenan) merupakan antara pemimpin yang mesra rakyat, mudah didekati dan disenangi oleh segenap lapisan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

Dalam nada sebak, Dayang Suzana turut menyifatkan kematian Adenan sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak dan Malaysia.

“Saya mengganggap beliau seperti seorang bapa dan pe-mimpin yang mampu menyatupadukan rakyat Sarawak dan inilah kehebatan yang dimilikinya sewaktu mentadbir ne­geri itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dayang Suzana yang menjalankan perniagaan sendiri itu berkata, walaupun beliau tidak menetap di negeri kelahirannya itu kehila­ngan Allahyarham amat dirasai.

Malah akuinya, mempunyai kenangan manis bertemu de­ngan pemimpin itu sekitar tahun 2005.

“Saya pernah bertemu de­ngan Allahyarham di Sarawak dan ketika itu beliau belum menjadi Ketua Menteri.

Dalam perbualan singkat itu, beliau menasihatkan saya agar menjaga nama baik rakyat ne­geri Sarawak setelah saya memaklumkan hasrat untuk merantau ke Semenanjung mencari rezeki.

“Saya amat mengharapkan agar penggantinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dapat menggalas tugas dan tanggungjawab beliau selaku Ketua Menteri Sarawak keenam,” katanya.

Anak Sarawak kelahiran Miri itu yang berusia 40 tahun kini merantau ke Melaka sebagai pegawai pemasaran di sebuah agensi iaitu Innocraft SIRIM hampir setahun lalu.

Beliau sebelum itu pernah membuka restoran makanan ‘Damai Dayang’ di Johor Bahru, Johor selama 17 tahun dan ha­nya pulang ke negeri kelahirannya jika berkesempatan iaitu empat bulan sekali atau setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

Baginya, hidup merantau mendatangkan keseronokan kerana dapat bertemu dengan pelbagai jenis manusia dan latar belakang yang sudah tentu memberi pengalaman cukup berharga.

Anak sulung daripada tujuh adik-beradik ini juga ber­syukur kerana Allahyarham Adenan sendiri tidak menghalang beliau untuk merantau dan masih ingat kata-kata pemimpin itu, ‘Tidak mengapa merantau asalkan niat kita ikhlas untuk mencari rezeki yang halal namun jaga baik nama anak Sarawak.’

Kata-kata Allahyarham itu memberi semangat kepada Dayang Suzana untuk terus ber­khidmat serta mencari rezeki di Semenanjung dan bersyukur kerana mempunyai ramai rakan sepanjang berada di perantauan.