Apatah lagi irama itu yang evergreen dan mempunyai ramai peminat tidak kira tua atau muda. Tambah menarik, setiap lirik asal diubah kepada loghat utara sehingga apabila didendangkan ada mengundang rasa sedih dan lucu serta memberi pengajaran kepada pendengar atau penontonnya.

Sempena sambutan RTM ke-69 kali ini, Perlis FM dengan kerjasama penaja TZ Emas Ventures Sdn. Bhd. sekali lagi menganjurkan pertandingan itu dengan melibatkan lapan peserta yang pernah menjadi pemenang semasa pertandingan pada 2011, 2012, 2013 dan 2014.

Penerbitnya, Mohd. Shah Hashim berkata, setiap peserta bukan sahaja menyanyikan semula lagu kemenangan masing-masing semasa bergelar juara atau pemenang sebelum ini tetapi juga sebuah lagu baharu.

Katanya, pihaknya sengaja mengumpulkan juara dan pemenang menerusi Pertandingan Juara Loghat Utara 2015 ekoran sambutan hangat yang diberikan oleh peminat untuk menyaksikan persembahan yang lebih hebat dan berkualiti oleh peserta.

“Pertandingan ini bukan sahaja untuk melihat keupayaan peserta mendendangkan lagu malah kreativiti dan pengubahsuaian lirik yang diterjemahkan ke loghat utara,” ujarnya.

Jadi tidak hairanlah pada malam kemuncak pertandingan itu, kira-kira 4,000 peminat termasuk dari luar Perlis hadir di Dewan 2020 di sini untuk menyaksikan peserta yang paling layak bergelar juara.

Tambah menarik apabila acara pembukaan diserikan dengan persembahan Hadrah dan peran (watak pelawak) dari Kumpulan Hadrah Tunas Wawasan Kampung Sungai Baru Simpang Empat, dekat sini bersama dengan penari dari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara negeri dan Kedah.

Apapun kelapan-lapan peserta yang sudah mempunyai peminatnya sendiri kerana pernah menang pertandingan yang sama sebelum ini tidak menghampakan penonton dengan persembahan masing-masing yang memukau.

Akhirnya, tuah menjadi milik seorang kakitangan kebudayaan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Azuan Othman apabila dinobatkan sebagai juara.

Dengan kemenangan itu membolehkan Azuan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, sijil dan trofi yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob. Yang turut hadir Pengarah Penyiaran negeri, Munah Madar.

Azuan memberitahu, dia mengambil masa selama sebulan untuk mencipta lirik lagu baharu yang disampaikannya iaitu Cik Pora Gigi Kokka.

Katanya, dia juga terpaksa mengambil masa yang agak lama kerana idea datang pada masa yang tidak menentu termasuk waktu tengah malam selain meminta pandangan daripada ibu dan juga rakan-rakan.

“Saya mencipta lirik Cik Pora Gigi Kokka (berlapis) dalam loghat utara ini untuk disesuaikan dengan lagu asalnya Di Kau Pujaan nyanyian Allahyarham S. Jibeng setelah dicadangkan ibu,” kata Azuan yang tidak menyangka selepas tiga kali menyertai pertandingan sama sejak 2013 akhirnya berjaya menjadi juara.

Katanya, pada 2013 dia mendapat tempat ketiga dan tempat kedua pada tahun berikutnya.

Azuan juga menyampaikan sebuah lagi lagu bertajuk Gadis Jejawi daripada lagu asal Gadis Pertiwi oleh penyanyi sama yang merupakan kegemarannya.

Tempat kedua dimenangi oleh Syamsyuhaida Sabri yang menerima hadiah wang tunai RM2,500, sijil serta trofi dengan nyanyian Man Lenggang dari nyanyian Oh Abang oleh Roziah Latiff dan Pomen Trekta dari lagu Teruna oleh Fatimah M. Amin.

Hafedz Halim yang mendapat tempat ketiga pula menerima hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan trofi telah mendendangkan lagu Siapa Bilang Abang Tak Sayang' dari nyanyian asal 'Siapa Bilang Aku Tak Sayang oleh L. Ramli dan lagu Dendang Anak Tani oleh A. Ramlie.

Lima lagi pemenang sagu hati terdiri dari Anis Izulya Mohd. Aziz, Faizal Kamarudin, Ahmad Zulazmeer Razali dan pasangan anak beranak iaitu Wan Yusuf Hamid dan Nurul Hani Nadira, dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan trofi.