Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Kedah/Selatan Thailand, M. Shri Yoganthiran berkata, peraduan yang masuk kali ketiga penganjurannya itu bertujuan untuk mempromosikan keindahan bunga tecoma yang juga dikenali sebagai sakura sebagai tarikan pelancong ke negeri ini.

“Syarat untuk menyertai pertandingan ini mudah sahaja, peserta hanya perlu ‘like’ dan ikut laman Tourism Malaysia Kedah di Facebook, Instagram dan Twitter sebelum menghantar gambar.

“Gambar bunga tecoma yang dimuat naik di laman sosial Tourism Malaysia Kedah perlu diambil di negeri ini dengan menggunakan ‘hashtag’ #tmkedah, #tourismmalaysiakedah dan #tecomainkedah.

“Peserta juga perlu meletakkan maklumat seperti butiran nama, lokasi dan tarikh gambar dimuat naik di ruangan kapsyen,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Shri Yoganthiran, pihaknya menawarkan pakej percutian kepada pemenang utama selain turut menawarkan hadiah misteri kepada peserta harian dan mingguan yang bertuah. - UTUSAN ONLINE