Video yang mengisahkan tiga cerita pendek bertajuk ‘Harapan, Pengorbanan dan Kebahagian Abadi’ itu merupakan terbitan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Video berkenaan mengisahkan perjuangan tiga wanita bersemangat tinggi walaupun menghidap kanser dan menceritakan bagaimana mereka berurusan dengan stigma penyakit tersebut.

Penghasilan video yang bertujuan untuk meningkatkan ke­sedaran dan pencegahan kanser menerusi pendidikan itu turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan dan Pinewood Iskandar Malaysia Studios serta akan dita­yangkan di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kanser merupakan ancaman besar kepada sesiapa sahaja dan berharap menerusi penghasilan video itu dapat memberi penyelesaian kepada masyarakat dalam aspek pencegahan menerusi pendidikan.

“Pendidikan dan kesihatan adalah komponen utama untuk kemajuan sesebuah negara, kewujudan teknologi sosial telah mencambah sebuah industri kreatif dalam perkembangan arus globalisasi dunia.

“Kita dapat lihat perkongsian media dengan begitu cepat penyebarannya menerusi pelbagai platform digital dan filem atau video merupakan bahan media yang mampu mempengaruhi pemikiran seseorang dan membantu dalam perubahan sosial dalam masyarakat,” katanya pada majlis berkenaan.

Ayub berkata, kerajaan negeri amat komited dalam menyokong generasi baharu usahawan serta penerbitan kandungan industri kreatif digital dan kewujudan Pelan Induk Pembangunan Kreatif adalah contoh terbaru bagi merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebagai sebuah hab industri kreatif bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim; Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rooshaimi Merican A. Rahim Me­rican serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Datuk Mohamed Ghazali Yusoff.