Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, cadangan membina benteng tersebut sudah dikemukakan kepada kerajaan pusat sejak dua tahun lalu namun masih belum diluluskan hingga sekarang.

“Sekiranya peruntukan pembinaan benteng ini diluluskan, saya percaya limpahan air dari sungai Segamat dapat dikawal dan kawasan-kawasan rendah di sekitar Kampung Jawa dan Felda Medoi juga akan lambat dinaiki air.

“Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah ini juga membantu mempercepatkan proses air surut kali ini yang hanya memakan masa beberapa jam berbanding selama beberapa hari setiap kali berlaku banjir sebelum ini,” katanya.

Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pasca Banjir Segamat 2017 di Balai Raya Air Bah, Kampung Paya Pulai, di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Amona Infra Care Sdn. Bhd., Datuk Mazlan Mohamad; Ketua Pemuda UMNO Sekijang, Salleheen Mohamad dan Ketua Kampung Paya Pulai, Mohamad Alwi.

Menurutnya, RTB yang melibatkan enam fasa dan kos sebanyak RM231 juta di daerah ini juga terbukti berfungsi dengan baik sewaktu banjir melanda daerah ini baru-baru ini sekali gus mampu mengurangkan kemusnahan harta benda penduduk.

“Setakat ini, semua fasa sudah selesai kecuali fasa keenam yang melibatkan landasan keretapi di Jalan Genuang yang menjadi satu penghalang projek RTB kerana menyekat kelancaran laluan air dari Sungai Genuang.

“Selagi projek pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) tidak dimulakan, masalah ini tidak akan selesai dan tidak akan dapat mengurangkan risiko banjir dan kerosakan harta benda penduduk di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, Amona Infra Care yang diberi tanggungjawab menyelenggara jalan-jalan di daerah ini, Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kluang sedang menyiapkan laporan me­ngenai jalan yang rosak dan terjejas akibat dilanda banjir.

“Setakat ini, hanya jalan di Segamat dan Tangkak yang didapati terjejas banjir dan laporan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memboleh­kan arahan membaikinya dikeluarkan.

“Bagaimanapun, jalan-jalan yang berlubang akan ditampal dalam tempoh 24 jam kecuali jalan-jalan yang runtuh atau berlaku hakisan kerana memerlukan proses reka bentuk daripada JKR,” katanya.