Perlumbaan Hot Wheels atau Drag Strip Hot Wheels yang dianjurkan Kelab Hot Wheels Side By Side itu adalah julung kali diadakan di pasar raya ber­kenaan.

Hobi mengumpul Hot Wheels bukanlah perkara asing untuk golongan kanak-kanak ataupun orang dewasa, namun aktiviti perlumbaan kenderaan itu dilihat menjadi tarikan baharu bagi rakyat di negeri ini.

Penyelaras pertandingan itu, Mohd. Iqbal Syauqi Che Ali berkata, lebih 300 kenderaan mainan tersebut mendaftar bagi menyertai perlumbaan.

Katanya, pertandingan selama dua hari itu melibatkan kategori Open Custom dan Open Blister dengan peserta hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM2 bagi setiap satu kenderaan mainan berkenaan.

Mohd. Iqbal Syauqi yang juga ahli Kelab Hot Wheels Side By Side berkata, dalam perlumbaan tersebut, dua kenderaan dilepaskan serentak di litar sepanjang 45 meter dan pemenang ditentukan apabila tiba dahulu sekali gus layak memasuki pusingan sete­rusnya.

“Setiap pemenang yang dikira dari tempat pertama hingga keempat akan menerima medal, hamper dan Hot Wheels. Sebenar­nya bukan hadiah menjadi keutamaan peserta sebaliknya kepuasan apabila melihat kenderaan mainan itu meluncur laju di litar.

“Selain itu, peserta dan orang ramai juga berpeluang melihat kecantikan dan keunikan pelbagai jenis Hot Wheels milik peserta yang berkumpul di sini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohd. Iqbal Syauqi berkata, setiap hari Sabtu kelab tersebut mengadakan perlumbaan Hot Wheels di Taman Sena berhampiran Bulatan Jubli Emas di sini.

Katanya, tujuan pertandingan itu diadakan untuk mengumpul penggemar Hot Wheels dari seluruh negeri ini selain berkongsi pe­ngalaman dalam kalangan mereka.

“Selain itu, kita juga cuba mewujudkan aktiviti sihat untuk semua golongan yang meminati permainan ini.

“Malah kita dapati mereka yang datang menyaksikan per­tandingan ini mula menyukai kereta mainan tersebut dan men­jadikan sebagai hobi baharu pula,” katanya.