HABSAH SHUIB
HABSAH SHUIB 

Lebih menyayat hati, mayat Mohamad Zaini Panjang Karim,55, dan Azizah Yatim, 49, ditemukan terapung dalam keadaan sedang berpelukan oleh penduduk kampung kira-kira pukul 3.30 petang.

Sebelum itu, usaha mencari mangsa dilakukan oleh pasukan keselamatan dan penduduk kampung apabila mereka dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan dan ketam pada pukul 6.30 pagi.

Kakak Azizah, Habsah Shuib, 58, berkata, seperti biasa, setiap hari adiknya bersama suami akan pulang dari laut kira-kira pukul 12 tengah hari selepas selesai menangkap ikan dan ketam.

“Apabila tidak pulang kira-kira pukul 12 tengah hari, saya menelefon adik sehingga 20 kali namun tidak dapat. Saya kemudian memaklumkan kepada penduduk kampung dan pasukan Maritim Malaysia (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) mengenai perkara itu. Selepas itu, ada nelayan memberitahu ternampak perahu mangsa namun tidak kelihatan orang di dalamnya.

“Kira-kira pukul 2 petang usaha mencari dilakukan dan mangsa ditemukan mati lemas dalam keadaan berpelukan oleh penduduk kampung pada pukul 3.30 petang.

“Saya sedih apabila melihat adik kesayangan bersama suami ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa. Minggu lalu, dia (Azizah) ada bergurau untuk meninggal dunia bersama suaminya, tidak sangka gurauan itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE