Antaranya sebuah keluarga di sini iaitu Mohd. Shorkri Lazim, 42, yang sehingga kini masih buntu mencari wang untuk membeli baju baharu untuk isteri dan tiga orang anaknya, yang masing-masing berumur 10 sehingga 15 tahun.

Bagi Mohd. Shorkri yang hanya bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah di sini, dapat menyediakan sepasang baju raya untuk anak-anak adalah suatu perkara yang cukup bernilai.

Katanya, dengan pendapatan yang tidak seberapa itu, mereka sekeluarga hanya boleh mengisi perut sahaja, malah ada ketika, keluarganya terpaksa berlapar kerana tidak mampu membeli beras.

Jika tahun lalu, keluarga yang menetap di sebuah pondok kecil di Kampung Belanga Pudak, Bintong itu mampu berhari raya dengan baju baharu hasil sumbangan orang ramai, kali ini, dia akan berusaha mencari wang untuk menyediakan pakaian baharu untuk keluarga.

“Kalau tidak mampu, terpaksalah anak-anak pakai baju lama. Kadang-kadang hendak makan pun tidak cukup, bagaimana hendak beli baju raya. Sebagai bapa, siapa yang tidak teringin melihat anak-anak pakai baju raya baharu seperti orang lain,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, isteri Mohd. Shorkri, Saleha Salleh, 41, berkata, air matanya kadang-kala menitis melihat anak-anak hidup dalam keadaan serba kekurangan khususnya ketika Aidilfitri bakal menjelma tidak lama lagi.

Katanya, dua daripada tiga anaknya pula merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan lebih perhatian.

Mohd. Shorkri Lazim bergambar bersama keluarganya di hadapan pondok kecil mereka di Kampung Belanga Pudak, Bintong, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Ketika ini, kami menumpang di sebuah pondok milik abang ipar saya. Kadang-kadang, jika kami tidak mampu membeli makanan, saudara-mara dan jiran-jiran akan membantu

“Pernah tiga hari dalam bulan Ramadan baru-baru ini, beras pun tiada di rumah namun nasib baik ada yang menghulurkan bantuan. Apabila difikirkan hendak makan pun tidak cukup, bagaimana hendak beli baju raya,” katanya

Tambah Saleha, sambutan Aidilfitri mereka sekeluarga sebelum ini juga tidak semeriah seperti orang lain, malah untuk menyediakan hidangan kuih raya juga tidak mampu.

“Kalau teringin hendak makan apa-apa kami akan berkunjung ke rumah orang lain. Begitulah rutin setiap tahun,” katanya yang memaklumkan dua anaknya yang OKU itu menerima bantuan tahunan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Terdahulu, Pertubuhan Amal Kebajikan Sukarelawan Perlis yang diketuai penaungnya, Hanizan Hadrus meluangkan masa melawat dan menyampaikan bantuan kepada keluarga tersebut. - UTUSAN ONLINE