Menurut baginda, sistem tersebut bebas daripada riba yang bertentangan dengan hukum Islam.

“Sesungguhnya sistem muamalah Islam sahaja yang memberi keadilan dan hak sama kepada semua pihak,” titah baginda ketika merasmikan Seminar Kesedaran Zakat Wakaf dan Muamalah Islam peringkat negeri 2018, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Tuanku Syed Faizuddin berharap institusi kewangan Islam memberi pemahaman dan penjelasan lebih meluas kepada masyarakat agar mereka memahami kepentingan sistem muamalah Islam.

Bersempena majlis itu, Pengerusi Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Zamani Abdul Ghani menyampaikan wakaf bank itu sebanyak RM20,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor untuk projek Bangunan Wakaf MAIPs yang menyediakan Perkhidmatan Hemodialisis di Hospital Tuanku Fauziah di sini. – BERNAMA