MOHD FO'AD SAKDAN
MOHD FO'AD SAKDAN

Timbalan Naib Canselornya, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan berkata, penangguhan itu diberikan sehingga keadaan dan emosi Muhammad Iqbal Shah Zakaria, pelajar tahun tiga Jurusan Kejuruteraan Rekabentuk Produk itu, stabil.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengunjungi Muhammad Iqbal Shah di kampungnya di Perak, esok, bagi mengetahui lebih lanjut keadaan pelajar itu di samping menghulurkan bantuan segera kepada adiknya yang sakit.

“Menerusi kunjungan ini nanti, kita harap dapat mengetahui lebih jelas situasi Muhammad Iqbal Shah dan adiknya berbanding hanya melalui telefon sebelum ini.

“Pada masa sama, tabung juga telah dilancarkan di peringkat universiti dan kampus bagi bersama-sama membantu meringankan penderitaan pelajar ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini kisah seorang pelajar Unimap yang terpaksa memohon penangguhan buat kali kedua pengajiannya kerana perlu menjaga adiknya yang mengalami kanser limfoma tahap empat.

Mohd. Fo’ad memberitahu, pihak universiti sentiasa mengambil berat masalah yang dihadapi para pelajar dan akan berusaha untuk membantu sedaya mungkin.

“Sebelum ini, kita juga meluluskan penangguhan seorang pelajar berasal dari Sarawak setelah keluarganya terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya. - UTUSAN ONLINE