Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin berkata kewujudan galeri itu juga akan menggalakkan pelajar UniMAP mempelajari dan mendalami teknologi IBS.

"Teknologi IBS ini membawa banyak kebaikan kepada pengiat industri selain memberi pengetahuan kepada para pelajar apabila tamat belajar universiti kelak," kata Rezuwan.

Beliau ditemui Bernama selepas merasmikan Kursus Pensijilan Profesional IBS anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) UniMAP dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Institut Agroteknologi Lestari, UniMAP, Sg Chucuh di sini, hari ini.

Seramai 57 peserta yang merupakan pelajar FTK mengikuti kursus itu.

Rezuwan berkata UniMAP akan bekerjasama dengan CIDB bagi membangunkan galeri itu di Kampus Unicity Alam, di sini.

Beliau menambah teknologi IBS berupaya menyelesaikan masalah yang sering berlaku di tapak pembinaan seperti kekurangan pekerja dan bahan selain meminimumkan pembaziran bahan binaan dan pencemaran alam sekitar di samping meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja. - BERNAMA