IZMI ISMAIL
IZMI ISMAIL

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Izmi Ismail berkata, kesemua mereka yang merupakan murid tahun lima itu adalah antara 13 murid yang terlibat dalam kejadian pukul 12 tengah hari tersebut.

Katanya, pada mulanya kesemua mereka dikejarkan ke Pusat Kesihatan Simpang Empat sebelum tiga daripadanya diarah dirujuk ke HTF.

“Ketiga-tiga murid itu walau bagaimanapun telah dibenarkan keluar pukul 6 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Izmi telah mengarahkan pihak sekolah terbabit memastikan segala peraturan penggunaan makmal dan radas serta bahan kimia sewaktu sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PDPC) dan amali diamalkan sepenuhnya.

“Ini bertujuan bagi mengelak berulang lagi insiden tumpahan merkuri di bilik makmal sekolah berkenaan.

“Pihak bomba juga telah membuat kerja-kerja pembersihan dan pihak sekolah diarah menutup makmal itu selama seminggu sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Izmi berkata, dalam kejadian itu, salah seorang ahli kumpulan murid berkenaan telah tidak sengaja menjatuhkan termometer lalu pecah.

Katanya, dilaporkan tiga daripadanya menyentuh dan menghidu cecair dari termometer yang pecah itu.

Beliau berkata, berikutan itu, guru subjek tersebut telah bertindak mengosongkan makmal dan memaklumkan kepada pihak pentadbiran sekolah berkaitan insiden tersebut. - UTUSAN ONLINE