Baginda bertitah, sebenarnya aspek kemanusiaan tidak boleh dike­tepikan begitu sahaja.

“Kita haruslah meneruskan usaha melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia, berkemahiran dan beridentiti nasional,” titah baginda pada Majlis Anugerah Kecemerla­ngan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini hari ini.

Berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Yang turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rooslee Ismail.

Titah baginda, semua pihak perlu jelas tentang konsep kualiti yang perlu ada pada setiap pelajar.

Baginda bertitah, setiap pendidik, ibu bapa, pelajar dan semua ahli masyarakat perlu bersatu dalam merealisasikan visi pendidikan sebagai wadah pembangunan pelajar holistik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Titah baginda, ibu bapa juga di­saran sentiasa peka dengan perubahan semasa dan berfikiran positif.

“Beta juga ingin merakamkan tahniah kepada SMK Derma kerana kejayaan, kecemerlangan dan ke­gemilangan berterusan dalam bidang akademik dan kokurikulum,” titah baginda.

Baginda bertitah, dengan kejayaan SMK Derma muncul sebagai sekolah terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu dengan 22 pelajar mendapat semua ‘A’ memang prestasi yang membanggakan.

Titah baginda, dengan kepu­tusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pula sebanyak tujuh pelajar mendapat 10 A telah membuktikan sekolah ini mampu melahirkan ramai pelajar yang cemerlang.

Baginda bertitah, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bekerjasama untuk berhadapan dengan sebarang cabaran dan masalah yang timbul pada masa hadapan.