Lebih manis penyerahan zakat itu disempurnakan syarikat milik kerajaan (GLC) tersebut menerusi Program Kayuhan MAIPs Peduli, yang begitu sinonim dengan negeri ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat menyertai program itu, yang dipelopori baginda sejak 2012 untuk menyantuni golongan asnaf.

Hadir sama Ketua Pegawai Modal Insan TM, Farid Basir dan pegawai-pegawai kanan TM serta ketua-ketua jabatan di negeri ini.

Farid berkata, sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli kali ini itu, pihak TM berbesar hati untuk turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM28,000 bagi menyokong usaha murni MAIPs itu.

“Sumbangan dan penyerahan zakat ini merupakan tuntutan kami sebagai sebuah organisasi korporat untuk meringankan beban ditanggung golongan memerlukan,” katanya.

Pada program itu, seramai 50 orang kakitangan TM terlibat sama menyertai acara kayuhan ke tiga buah rumah asnaf untuk menyantuni mereka sebelum menyampaikan sumbangan kepada 250 orang asnaf di Masjid Al-Hidayah, Kampung Behor Masjid di sini.

Untuk rekod, pada 2017, TM telah mengagih-agihkan zakat perniagaan berjumlah RM5.229 juta kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) atau kepada badan-badan berkaitan di seluruh negara.

Menerusi program-program seperti Kayuhan MAIPS Peduli ini, ia memberi peluang kepada TM untuk menyumbang kepada masyarakat setempat, selari dengan visi TM, ‘Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah demi Kesejahteraan Malaysia’.

Selain itu, program kayuhan ini juga merupakan salah satu inisiatif kempen kesihatan ‘#Yes2Health’ yang dianjurkan oleh pihak syarikat, bertujuan untuk membudayakan gaya hidup sihat dan seimbang dalam kalangan warga TM. - UTUSAN ONLINE