Titian kanopi atau jambatan gantung yang ketinggiannya 17 meter dan panjang 100 meter itu telah dibuka secara rasmi pada tahun 2012, namun masih ramai tidak mengetahui kewujudannya termasuk rakyat negeri ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan ne­geri, Asmaiza Ahmad telah membawa lebih 60 peserta serta wakil-wakil media untuk melihat dengan lebih dekat keistimewaan titian tersebut, baru-baru ini.

Dalam masa sama, beliau juga memberi jaminan akan membantu daripada segi mempromosikan titian tersebut yang boleh dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan di Perlis.

Katanya, apa yang menarik, apabila berada di atas kanopi tersebut, para pengunjung boleh melihat dengan jelas keindahan pelbagai jenis tumbuhan di hutan simpan berkenaan.

“Kita akan cuba mendapatkan peruntukan untuk mencantikkan jambatan gantung ini yang mempunyai potensi besar untuk menjadi lokasi yang menjadi tumpuan pelancong selepas ini.

“Selalunya, lokasi tersebut menjadi tumpuan kepada mereka yang melakukan akti­viti perkhemahan, seminar dan motivasi. Kita akan membantu mempromosikan kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah beliau, titian kanopi tersebut boleh menampung berat kira-kira 2,000 kilogram atau dianggarkan seramai 40 orang dewasa dan 80 kanak-kanak.

Bagaimanapun katanya, pi­hak FRIM yang menguruskan kanopi tersebut hanya membenarkan lapan orang pengunjung menggunakan kanopi tersebut pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, bayaran yang dikenakan kepada pe­ngun­jung yang ingin merasai keseronokkan menggunakan ka­nopi berkenaan adalah RM3 untuk pelajar sekolah dan RM5 bagi mereka yang berusia 18 tahun ke atas.