Katanya, sebelum ini, meskipun banyak aduan telah dikemukakan namun pusat berkenaan tetap beroperasi dan situasi tersebut bukan perkara baharu malah sudah lama berlarutan.

Dalam masa sama, beliau juga hairan mengapa perkara ini dibiarkan begitu lama dan menjadi persoalan apakah rahsia sehingga aktiviti seburuk itu boleh berterusan.

“Jika benar ditutup Alhamdulillah. Pohon agar jangan pula nanti dibuka kembali atas cerita yang lain pula. Kasihan anak-anak yang masih remaja disuruh membuat jualan di sana sini atas nama tahfiz.

“Padahal mereka patut berada di sekolah. Apabila berjumpa mereka, berat untuk melihat anak-anak sekolah menagih simpati ke sana ke mari membawa barang jualan atas nama agama,” katanya dalam status Facebooknya di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah mengarahkan pusat tahfiz amal yang beroperasi di Sungai Petani ditutup serta-merta selepas ia beroperasi secara haram termasuk dipercayai mengeksploitasi pelajar untuk mengutip derma.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Dr Ismail Salleh dilaporkan berkata, arahan itu dikeluarkan berdasar Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.

Terdahulu tular satu video di media sosial kononnya 211 anak yatim dan fakir miskin diarah mengosongkan penempatan mereka.

Melalui video berdurasi 3 minit 37 saat itu menunjukkan bagaimana keadaan kanak-kanak yang sedang menangis apabila mereka diarah berpindah keluar daripada kediaman terbabit.

Sementara itu, Mohd. Asri, berharap penutupan tersebut biarlah serius dan diambil tindakan.

“Sering kita tertanya, mengapa kerajaan membiarkan hal ini sejak begitu lama. Entah berapa ratus atau mungkin ribuan aduan telah dibuat oleh orang ramai.

“Simpati kepada anak-anak yang masih remaja. Tertanya kita, apakah rahsia sehingga aktiviti seburuk ini boleh berterusan sejak sekian lama. Menghairankan!,” katanya. - UTUSAN ONLINE