Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan memberi 20 hingga 30 batang pokok untuk setiap isi rumah pekebun kecil getah bagi mengusahakan tanaman tersebut.

“RISDA akan mengedarkan benih sacha inchi dari Thailand ini kepada pekebun kecil getah tidak lama lagi,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Pekebun Kecil RISDA peringkat negeri di Pasar Sehari Bukit Keteri di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah RISDA negeri, Abd. Rahim Hashim.

Dalam majlis berkenaan, seramai 1,200 pekebun kecil getah di seluruh negeri ini menerima bantuan.

Zahidi berkata, sacha inchi yang kaya dengan omega 3, 6 dan 9 itu adalah sebagai gantian kepada tanaman guarana yang tidak diluluskan kerajaan kerana dikatakan boleh membawa penyakit kepada pokok getah di negara ini.

Meskipun akur dengan keputusan itu tetapi beliau berpendapat, sepatutnya jabatan pertanian membuat kajian punca yang menyebabkannya tidak boleh ditanam.

“Ini memandangkan guarana dikatakan mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada pekebun kecil getah,” katanya.

Sementara itu, Zahidi menasihatkan pekebun kecil getah supaya tidak terpedaya dengan parti pembangkang yang disifatkan sudah tiada lagi hala tuju dan kini sedang menuju kehancuran.