Rata-rata penduduk di kawa­san itu bekerja sendiri dengan kehidupan mereka sesama jiran tetangga harmoni seperti sebuah keluarga.

Baru-baru ini, mereka berasa gembira apabila dapat berkumpul bersama bagi menjayakan program sukaneka dan kenduri rakyat yang diadakan di situ.

Lebih 300 penduduk menyertainya bagi memeriahkan pelbagai aktiviti yang disediakan pada hari itu seperti memancing, permainan karom, sepak penalti gol kecil, mencari gula-gula dalam tepung, memancing botol dan pelbagai lagi sukan lain melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Rela Ahmad yang meluangkan masa bersama penduduk menyampaikan sumbangan dan menyaksikan pelbagai aktiviti di situ.

Aktiviti tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Kampung Wang Belimbing dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Malaysia kawasan itu selain mendapat soko­ngan daripada pelbagai pihak.

Ketua UMNO Cawangan Wang Belimbing, Kamis Harun berkata, aktiviti tahunan itu mampu menjadi landasan terbaik kepada penduduk bagi mengeratkan hubungan sesama mereka melalui semangat kerjasama yang ditunjukkan dalam menjayakan program berkenaan.

Katanya, sambutan penduduk amat menggalakkan kerana hampir 100 peratus penduduk pelbagai peringkat usia di kampung ini dan kawasan sekitar hadir menjayakan program ini.

“Program santai itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti riadah dan sukaneka selain pengisian lain kepada semua peserta yang terdiri daripada setiap peringkat umur khususnya kanak-kanak.

“Melalui program seperti ini, kita dapat berkumpul bersama melibatkan seluruh penduduk kampung. Kita akan meneruskan aktiviti seperti ini pada masa-masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada para pemenang setiap acara sukaneka tersebut selain cenderamata untuk semua penduduk serta hadiah cabutan bertuah.