Maka sebab itu, pembukaan Maneq Hills ATV Adventures di Kampung Bukit Manik, Jalan Kangar-Padang Besar pada Julai lalu disifatkan tepat pada masanya sekaligus membuka peluang kepada penggemar sukan lasak ATV atau yang baru nak berjinak-jinak mencubanya.

Lokasinya yang mudah kerana terletak di tepi jalan menarik sesiapa sahaja untuk melirik pandangan ke arah papan tanda dan deretan ATV di perkampungan kecil ini.

“Sejak dibuka sambutannya menggalakkan dan sehingga kini telah mencapai 3,000 pengunjung,” kata Pengarah Urusan Maneq Hills Resources, Azny Nizar [email protected] Razak.

Beliau berkata, setakat ini hanya terdapat 10 ATV, namun jumlah itu mencukupi untuk membawa lima pengunjung memasuki kawasan trek seluas 1.8 hektar dan sepanjang 1.5 kilo­meter pada satu-satu masa.

Lebih menarik, kata Azny Nizar atau le­bih diikenal sebagai Jat, terdapat le­bih 15 halangan yang dibina di sepanjang trek itu dan ia akan berubah-ubah bagi memastikan peminat sukan lasak ATV di situ tidak jemu.

Katanya, pihak­nya juga menggenakan bayaran ber­pa­tutan untuk pengunjung.

“Jadi jangan anggap sukan lasak ATV ini untuk orang berduit tetapi sesiapa sahaja mampu untuk mencubanya dan lebih baik jika datang secara berkumpulan,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, bayaran untuk menaiki ATV bermula dengan RM20 untuk melalui trek pertama selama 15 minit menggunakan ATV 125cc manakala paling lama iaitu RM60 selama sejam.

Sementara itu, Pengurusnya, Hazimin Abashah berkata, satu perkara yang menarik adalah apabila 70 peratus pemandu wanita menyahut cabaran melalui trek paling rumit sehingga ke kaki bukit.

“Yang peliknya semasa hendak mencuba menaiki ATV, masing-masing menjerit ketakutan tetapi apabila sudah pandai mengendalikan kenderaan itu mereka pula akan menjadi lebih berani daripada lelaki,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada lagi pengunjung yang mengalami kecederaan serius akibat terjatuh daripada ATV sebaliknya hanya mengalami luka-luka kecil.

Beliau memberitahu, untuk mencuba memandu ATV bukanlah perkara sukar malah lebih mudah bagi mereka yang mahir menunggang motosikal.

“Kami sediakan ATV manual yang mempunyai gear seperti motosikal dan setiap pemandu perlu mengikut arahan supaya perjalanaan selamat,” katanya.

Pengalaman penulis sendiri sekali pun mampu menunggang motosikal tetapi mulanya agak keliru dengan kedudukan gear yang terletak di bahagian belakang.

Tambahan pula pemegang ATV yang agak berat sukar untuk dikawal terutamanya ketika membelok dan perlu berhati-hati apabila menaiki cerun yang dipenuhi dengan halangan seperti batu, titi kecil dan buluh yang merintangi jalan.

Rasa cuak dan ngeri itu ada tetapi lama kelamaan ia mula hilang apabila berjaya menempuh halangan.