Ketika acara bermula, stadium yang mampu memuatkan lebih 20,000 orang itu penuh sesak dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum bagi menyaksikan aktiviti menarik.

Majlis yang meriah dan berwarna-warni itu menampilkan kira-kira 50 buah kontinjen perarakan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Seperti lazimnya, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalu­l­lail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat mencemar duli memeriahkan sambutan pada malam berkenaan.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Majlis dimulakan dengan upa­cara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu negaraku sebelum diserikan dengan persembahan pembukaan oleh anggota tentera yang melakukan demontrasi menyelamat serta bertempur tanpa senjata.

Ternyata persembahan tersebut berjaya memukau para pe­ngunjung yang hadir pada malam berkenaan.

Seterusnya acara perarakan oleh kontinjen-kontinjen yang ter­­diri daripada wakil jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, institusi pengajian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Para pengunjung juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas seperti nyanyian berunsur patriotik dan tarian kebudayaan.

Majlis tersebut diakhiri de­ngan­ laungan ambang merdeka yang bergema di dalam dan luar stadium sambil diiringi dengan pertunjukan bunga api yang me­nerangi suasana malam di bandar ini.

Sementara itu, Azlan ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, sambutan yang diadakan ini adalah bagi memperingati dan merayakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan setiap tahun adalah untuk mengenang kembali sejarah perjuangan da­lam menuntut kebebasan dari pada cengkaman penjajah.

“Setiap rakyat perlu mengetahui dan memahami sejarah perjuangan ini supaya kemerdekaan dan kedaulatan negara sentiasa dihayati dan terpelihara lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini.

“Alhamdulillah negara kita telah berjaya dipimpin dengan baik oleh barisan kepemimpinan yang silih berganti. Dengan wawasan dan kebijaksanaan barisan kepemimpinan kita sejak 1957 lagi, negara kita terus me­langkah ke hadapan,” katanya.