Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata melalui pelancaran kempen Pasar Tani Bersih di seluruh negara pada Oktober dilihat memberi impak yang positif.


"Ia sebagai usaha FAMA mentransformasi lebih 700 pasar tani di seluruh negara untuk memberikan persekitaran yang selesa dan turut menerapkan konsep kebersihan kepada semua peserta," kata Ahmad.


Beliau ditemui Bernama selepas pelancaran kempen Pasar Tani Bersih peringkat negeri Perlis oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Perlis Ahmad Zakaria di Pasar Tani Kekal, Simpang Empat di sini, hari ini.


Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis Nurulhisham Yaakob.

"Kesemua peserta ini akan diterapkan nilai kebersihan yang menjadikan mereka menjaga persekitaran sekaligus boleh menarik lebih ramai pengguna mendapatkan bekalan segar dengan selesa," kata Ahmad.


Beliau berkata FAMA juga turut mengedarkan sarung tangan dan penutup muka (mask) sebagai langkah kebersihan untuk diamalkan para peserta pasar tani.


Pasar Tani Kekal di sini yang bernilai lebih RM2 juta telah beroperasi sejak awal 2016 yang menempatkan 94 lot niaga dengan 64 orang peserta yang menjual pelbagai barangan keperluan harian.


Dalam majlis itu FAMA turut menyerahkan geran usahawan berjumlah lebih RM50,000 kepada lima usahawan di samping turut menyampaikan dua buah motosikal roda tiga kepada dua usahawan yang merupakan peraih kelapa serta sayuran.
- BERNAMA