Ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, apatah lagi perkara tersebut dibangkitkan oleh mana-mana pihak yang menggunakan nama UMNO dan menyokong perjuangan parti itu.

Jelas beliau, perbuatan mempersoalkan perbezaan tafsiran berkaitan Islam serta pertembungan pendapat para ilmuwan agama, hanya akan memecah-belahkan kesepakatan dalam parti.

“Sekiranya berterusan mengeluarkan kenyataan yang cuba memecah-belahkan kesepakatan dalam parti, maka Pemuda UMNO negeri menuntut supaya Majlis Tertinggi UMNO mengeluarkan larangan untuk tidak membenarkan mereka menggunakan nama parti itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik kenyataan seorang pemimpin sebuah kelab semalam, mendesak pucuk pimpinan parti UMNO agar menyaring pegangan akidah calon-calon beragama Islam yang akan bertanding pad pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Syed Atif seterusnya mengingatkan bahawa pelantikan mufti negeri ini adalah di bawah urusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan adalah tidak wajar melabelnya dengan gelaran tertentu seperti berfahaman wahabi.

“Ini disebabkan Mufti (Perlis) tidak pernah pada bila-bila masa menolak walau satu baris ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih, apatah lagi mewujudkan perkara baharu dalam amalan agama.

“Jadilah kumpulan yang cenderung melihat kepada persamaan antara sesama ahli masyarakat daripada asyik menyemarakkan perbalahan bersandarkan keegoan, dendam dan kebencian,” katanya.

Menurut Syed Atif lagi, biarlah urusan pelantikan calon-calon pilihan raya dilakukan oleh Presiden UMNO secara bebas berdasarkan kebijaksanaan dan rangkaian mekanisme tanpa perlu bersandar kepada desakan mana-mana pihak tertentu. - UTUSAN ONLINE