Majlis yang berlangsung meriah itu dihadiri seramai 600 tetamu termasuk oleh Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail.

Menurut pengetua sekolah itu, Hayazi Abdullah, majlis tersebut adalah inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lailatul Shahreen bagi menghargai jasa, sumbangan dan penglibatan ibu bapa, guru, murid, persatuan alumni sekolah, jabatan kerajaan dan masyarakat setempat dalam membantu sekolah menjayakan pelbagai program yang diatur sepanjang tahun.

Katanya, selain itu, majlis tersebut juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi menaik taraf serta menambah baik kemudahan sukan yang sedia ada di sekolah berkenaan.

“Hal ini amat penting diuruskan dengan sempurna supaya proses pengajaran dan pembelajaran pelajar berupaya mengikut sukatan pelajaran sedia ada dan tidak
terganggu. Ia juga sebahagian daripada usaha sekolah bagi melahirkan jagoan sukan di masa hadapan di pelbagai peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Hayazi, pihaknya menyeru kepada mana-mana individu, syarikat atau korporat agar menyumbang kepada sekolah melalui tabung PIBG.

“Bagi pihak sekolah, kami bersedia menerima apa sahaja bentuk sumbangan yang bermanfaat kepada sekolah dan boleh digunakan oleh pelajar bagi tujuan pembelajaran serta pembangunan insaniah pelajar yang terlibat,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, SMK Tuanku Lailatul Shahreen ditubuhkan pada 1 April 2010 dengan keluasan keseluruhan lebih tujuh hektar yang menempatkan bangunan akademik, makmal dan bangunan pentadbiran.

Sekolah tersebut kini mempunyai lebih 500 orang pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 dengan 48 orang tenaga pengajar. - UTUSAN ONLINE