Pengarahnya, Fadzir Kamaruddin berkata, Koperasi Homestay dan Kampung Stay Ujung Bukit Perlis Berhad itu baru didaftarkan pada Mei lalu.

Beliau berkata, koperasi yang ditubuhkan berkenaan melibatkan seramai 50 anggota yang terdiri daripada para peng­usaha inap desa di seluruh negeri ini.

“Penubuhan koperasi yang ber­asaskan pelancongan ini masih baharu di negeri ini kerana kebanyakannya ke arah kepenggunaan,” katanya dalam majlis Prapelancaran Hari Koperasi Negara 2017 peringkat negeri dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran SKM negeri di Ba­ngunan Persekutuan di sini hari ini.

Pengerusi Jawatan­kua­sa Perdaga­ngan­ Dalam Nege­ri, Kope­rasi dan Kepeng­gunaan negeri, Asmaiza Ahmad melancarkan majlis berkenaan.

Fadzir berkata, pihaknya berharap semua koperasi yang berdaftar di negeri ini akan terus aktif dalam melaksanakan perancangan.

Katanya, setakat ini Koperasi Kakita­ngan Jabatan Pertanian negeri walaupun baru ditubuhkan tiga tahun lalu tetapi telah menunjukkan strategi pemasaran yang mengagumkan.

“Koperasi ini yang berasaskan penju­a­lan Harumanis menyediakan pelbagai produk berasaskan mempelam seperti aiskrim yang dijual di kafe Pusat Kecemerlangan Harumanis, Bukit Bintang di Jalan Sungai Batu Pahat di sini,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, SKM akan menganjurkan Hari Koperasi Negara peringkat negeri di Taman Rekreasi Tasik Melati dekat sini, mulai 4 hingga 6 Ogos ini.

Katanya, ia bagi memberi peluang kepada rakyat melihat peranan agensi tersebut dalam membantu membangunkan koperasi yang berdaftar di negeri ini.

Fadzir berkata, sempena hari koperasi itu, pelbagai acara menarik bakal diadakan, selain jualan produk koperasi, ju­alan ‘car boot’ dan ‘food truck’.