SIRaj V adalah anjuran Institut Kajian Institusi Raja, Kepemimpinan dan Komuniti (IKRK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dengan kerjasama Universiti Islam Negeri (UIA) Alauddin Makassar.

Seminar itu yang juga diadakan sempena ulang tahun Makassar Ke-410 tahun juga mendapat kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Berhad, Yayasan Unimap, Unimap Holdings dan Proven Group of Companies.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengetuai delegasi SIRaj V baru-baru ini untuk berkampung di Makassar selama tiga hari.

Baginda yang juga Canselor Unimap berkenan merasmikan SIRaj V yang diadakan di Rumah Jabatan Walikota, Makassar.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Pengarah IKRK Unimap, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dan Rektor UIN Alauddin Makassar, Prof. Dr. Musafir Pababbari.

Baginda bertitah, SIRaj V berkelana di Indonesia atas dasar musyawarah dan persaudaraan, penganjuran SIRaj ini terus mendukung konsep dan peranan sejarah kesultanan yang meletakkan nilai tinggi terhadap perkongsian ilmu dalam memperteguhkan tamadun bangsa.

“Pada asasnya Malaysia dan Indonesia berkongsi ciri dan nilai yang sama iaitu alam Me­layu dan secara dasarnya kita semua serumpun,” titah baginda.

Titah baginda, penaklukan dan pengaruh luar secara tidak langsung mengikis nilai dan identiti yang akhirnya menjarakkan hubungan silaturahim kepada penduduk dua negara ini.

Bagaimanapun, titah baginda, penyatuan hakikatnya adalah penting bagi kedua-dua negara demi memastikan ke­langsungan hayat survival tamadun bangsa agar terus gah me­rentas sempadan dunia.

Sempena majlis, baginda berkenan memukul gendang sebagai tanda perasmian SIRaj V yang dipenuhkan dengan persembahan kebudayaan tradisional Makassar.

Persembahan tarian Makassar ini sekaligus menunjukkan budaya penduduk di Sulawesi Selatan ini masih tetap utuh.

Tidak cukup dengan itu, rata-rata tetamu khususnya wanita hadir dengan memakai ‘Baju Bodo’ yang merupakan pakaian adat bagi orang Bugis Makassar yang mendiami Sulawesi Selatan.

Malah tetamu yang hadir juga dihidangkan dengan makanan tradisi iaitu Sup Saudara yang merupakan resepi turun temurun dan menjadi sup kebanggaan orang Makassar.

Sempena dengan SIRaj V ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulalil juga berkenan menge­tuai delegasi Unimap melawat ke beberapa tempat bersejarah di Makassar bagi mempelajari sejarah kesultanan di Sulawesi Selatan.

Antara yang dilawati terma­suk Muzium Balla Lampoa yang terletak di Kabupaten Gowa yang menempatkan bangunan Istana Lama Kesultanan Raja Gowa.

Selain itu, lawatan ke Makam Pahlawan Nasional Sultan Hasanuddin yang merupakan Raja Gowa Ke-16 dan delegasi berpeluang menunaikan solat Zohor di Masjid Tua Katangka yang merupakan tertua di Sulawesi Selatan apabila dibina pada 1603.