Sebagai generasi akan datang, sudah pasti segala tanggungjawab terhadap alam sekitar adalah terletak di bahu mereka.

Cuma cara untuk menerapkan rasa sayang kepada alam sekitar ini perlu dilakukan dengan pelbagai cara supaya ia mampu memberikan kesan jangka panjang terhadap mereka.

Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2016 peringkat negeri Perlis yang diadakan di Tasik Melati, Jalan Santan di sini baru-baru ini, melibatkan kanak-kanak peringkat prasekolah atau tadika.

Selain itu juga diadakan pa­meran oleh beberapa agensi berkaitan bagi memberikan pe­ngetahuan kepada pengunjung untuk bersama-sama memulihara alam sekitar.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim.

Ia ternyata meriah dengan kehadiran hampir 80 kanak-kanak yang terlibat dalam beberapa aktiviti yang berkait rapat dengan penjagaan alam sekitar.

Sebelum itu Mat Rawi juga juga turut melakukan pelepasan kenderaan pacuan empat roda peserta Enviro-Hunt selain melepaskan benih ikan di Tasik Melati.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis, Abdul Aziz Parmin.

Kemuncak majlis itu diserikan dengan pertandingan pakaian beragam yang disertai oleh kanak-kanak tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Prasekolah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Santan dan SK Datuk ­Ka­yaman.

Masing-masing dengan bantuan guru dan keluarga cuba menggunakan bahan kitar semula yang dipilih sebagai tema untuk pakaian yang diperagakan mereka.

Jadi. tidak hairanlah botol plastik menjadi baju, kasut, topi manakala kertas surat khabar menjadi baju dan beg plastik pula menjadi bunga menghiasi baju serta bekas sarang telur menjadi selendang.

Lebih membanggakan setiap kanak-kanak ini tidak segan silu untuk memperagakan pakaian beragam masing-masing yang kelihatan sangat unik daripada bahan terbuang ini.

Dengan adanya daya kreati­viti maka kanak-kanak ini tampil dalam pelbagai watak pakaian iaitu sebagai robot, pahlawan Melayu, petani, tuan puteri malah juga Orang Asli.

Tidak cukup dengan pakaian, kanak-kanak ini juga mengenakan aksesori seperti topi yang direka begitu unik apabila dihasilkan daripada kotak, beg plastik dan juga botol plastik.

Bagaimanapun daripada 21 penyertaan ini hanya tiga sahaja dipilih sebagai pemenang.

Muhammad Irfan Naim Khairul Azman yang berpakaian ala robot dari prasekolah SK Santan muncul johan dan menerima hadiah penginapan satu malam dan baucar makan minum RM150 di Coffe House/Bistro di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis.

Tempat kedua disandang oleh Muhammad Nazir Irfan Mohd. Rizal dari prasekolah SK Datuk Kayaman yang memakai baju ala petani menerima baucar makan minum di Coffee House/Bistro Hotel Berasmana Kuala Perlis bernilai RM100.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Nur Irdina Qalesya Sabu, prasekolah dari SK Datuk ­Kayaman yang memakai pakaian ala tuan puteri menerima hadiah baucar makan minum di Coffee House/Bistro Hotel Brasmana Kuala perlis bernilai RM50.

Juga diadakan pertandingan mewarna melibatkan 60 kanak-kanak. Johan disandang Nur Aina Qistina Hairul Nashriq dari Tabika Kemas Taman Mas, naib johan milik Nur Insyirah Damia Zulkefli dari Tabika Kemas Alor Tampang dan ketiga oleh Siti Nur Farisya Fazadly dari Tabika Kemas Simpang Tiga, Datuk Kayaman.