Semakin banyak seseorang itu membaca maka semakin ­ba­nyaklah ilmu yang berjaya diperoleh.

Pembukaan Gallery Bookstore Sdn. Bhd. di 38A & 40A, Jalan Tiga di Kompleks Tok Arau yang merupakan satu-satunya gedung buku terbesar di Perlis baru-baru ini, memberi banyak kelebihan untuk rakyat negeri ini.

Semoga ia seiring dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan rakyat di negeri ini mening­katkan ilmu dengan membaca.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, cawangan ke enam Gallery Bookstore ini menyediakan 25,000 judul bahan bacaan.

Gallery Book Store sebelum ini mempunyai cawangan di Masjid Tanah, Melaka; Bandar Baru Bangi, Se­langor; Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur; Alor Setar, Kedah dan di Kuala Kangsar, Perak.

“Gallery Bookstore ini merupakan one stop centre di mana bukan sahaja menyediakan bahan bacaan yang diperlukan di semua peringkat umur iaitu daripada kanak-kanak tadika, orang dewasa dan juga pelajar institusi pengajian tinggi tetapi juga alat tulis,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan untuk menempah disediakan jika judul buku yang diperlukan tiada dalam simpanan atau membeli secara atas talian.

“Kita telah melabur sebanyak RM1.2 juta di cawangan ini yang meliputi pengubahsuaian kedai dan sebagainya," katanya.

Mohd. Salleh berkata, pihak­nya memang menyasar untuk membuka kedai buku di bandar-bandar baharu seperti Arau ini supaya dapat memberikan bahan bacaan untuk penduduk di luar bandar.

Rata-rata pengunjung di Gallery Bookstore yang ditemui berpuas hati kerana kini berpeluang untuk membeli bahan bacaan pilihan untuk semua peringkat masyarakat.

Mereka tidak melepaskan pe­luang untuk mengunjungi Gallery Bookstore ini yang disifatkan sebagai pusat sehenti yang lengkap kerana ada bahan bacaan dan juga alat tulis.

“Saya dan keluarga kebetulan datang ke sini dan tidak menjangka ada pembukaan Gallery Bookstore yang menyediakan diskaun harga menarik untuk bermacam-macam judul buku,” kata Muhammad Ammar Syahmi Mohd. Zaid, 16.

Beliau berkata, memang Gallery Bookstore lengkap dengan pelbagai bahan bacaan bagi kemudahan golongan pelajar untuk mencari buku rujukan pelajaran selain memenuhi hobi membaca novel remaja.

Bagi Masturah Malik, 26, pula dia mengambil kesempatan membawa dua anak saudaranya untuk meninjau bahan bacaan yang terdapat di Gallery Bookstore.

“Nampaknya banyak buku ada di sini dan pastinya saya akan ke sini lagi jika ada masa lapang,” katanya.

Beliau berkata, dengan pembukaan Gallery Bookstore ini memberi peluang kepada orang Perlis untuk lebih mudah mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan.

Kata Azam Saad, 43, kalau sebelum ini dia perlu ke Alor Setar untuk mencari bahan bacaan yang diperlukan oleh anak-anaknya tetapi dengan pembukaan Gallery Bookstore segala­nya menjadi lebih mudah.

Beliau berkata, dengan ada­nya Gallery Bookstore ini juga mampu meningkatkan lagi minat membaca dalam kalangan rakyat di negeri ini.