Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, jika berjalan lancar, SAPPs akan mula dilaksanakan di tiga sekolah atau premis KAFA pada setiap Jumaat selama tiga jam dengan murid tahun satu sebagai perintisnya.

Baginda yang juga Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, menerusi kelas itu, murid akan didedahkan dengan ilmu Islam daripada sumber muktabar iaitu al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

“Ini bertujuan menyambut titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail da­lam amanat baginda yang ketiga iaitu supaya anak-anak di Perlis hendaklah mewarisi kefahaman yang jelas tentang Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalam negeri ini.

“Mereka merupakan pewaris dan usaha pihak bertanggungjawab untuk memastikan hal ini hendaklah dipertingkatkan. Maka, sukatan pengajian agama di peringkat awal (sekolah) hendaklah selaras dengan pegangan Perlis,” titah baginda dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan KAFA dan Tadika Islam peringkat negeri 2017 di Dewan Wa­risan, di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, SAPPs diharap mampu menjadi kurikulum contoh kerana keunikannya yang berdasarkan kepada dalil yang sahih tanpa terikat dengan mazhab ter­tentu.

“Kurikulum yang diajar da­lam SAPPs akan dipilih dan dinilai terlebih dahulu berdasarkan pandangan fikh terbaik berdasarkan kekuatan dalil yang sahih.

“Selain itu adalah sebagai satu usaha berterusan bagi mendidik dan membentuk murid Islam ke arah perkembangan fitrah insan selaras dan bertepatan dengan kehendak al-Quran dan sunah,” titah baginda.

Bersempena majlis tersebut, turut diadakan ialah penyampaian anugerah, persembahan murid, penyampaian sijil kepada semua murid Tadika Islam Perlis.