Manakan tidak, seramai 64 remaja dan kanak-kanak daripada kolej vokasional, rumah anak yatim dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) itu, bukan sahaja dapat beramah mesra dengan golo­ngan tersebut tetapi juga dapat menyelami naluri dan perasaan mereka yang berpangkat datuk atau nenek kepada mereka itu.

Program yang julung-julung kali diadakan dan dianjurkan oleh JKM negeri di Rumah Seri Kenangan itu bertujuan merapatkan hubungan antara warga emas dan masyarakat setempat khususnya generasi muda.

Para peserta pula adalah terdiri daripada seramai 40 orang pelajar dari Kolej Vokasional Arau, PDK Indera Kasih (10 orang) dan anak yatim dari Rumah Kanak-kanak Arau (14 orang).

Sedikit sebanyak program itu telah berjaya merapatkan jurang hubungan antara kira-kira 60 orang warga emas yang terlibat dengan masyarakat setempat menerusi aktiviti yang dianjurkan.

Kumpulan warga emas itu adalah dari RSK di sini, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Rumah Sejahtera.

Pada program ini, para peserta berpeluang untuk bersama-sama membuat bedak sejuk, kuih karas dan menganyam tudung saji iaitu aktiviti yang biasanya dilakukan oleh penghuni di RSK ini dan ceramah.

Hasil maklum balas daripada wakil pelajar Kolej Vokasional Arau merasa bertuah kerana mereka terpilih menyertai Program Intergenerasi Warga Emas, Kanak-kanak dan Remaja peringkat negeri itu.

Para peserta memperoleh pengalaman baharu menjalankan aktiviti sambil mendekati dan menyelami jiwa penghuni warga emas berkenaan.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kangar, Nor Amin Ahmad.