Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sabry Ahmad berkata, sudah tiba masanya kedai koop sekolah melakukan perubahan dan bukannya bagaikan kedai runcit di kampung yang tidak tersusun daripada segi barangan dan cara pengurusan.

“Ambil contoh kedai runcit 24 jam dan pasar raya yang mampu mengendalikan jualan barangan runcit bernilai ribuan ringgit setiap hari dengan lancar apabila sistem pengurusan melibatkan teknologi canggih termasuk penggunaan mesin juruwang,” katanya semasa berucap melancarkan Coop Mart dan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Cafe Mart di SMK Syed Alwi, Jalan Kangar-Alor Setar di sini, hari ini.

Sabry juga merasmikan Coop Mart dan melakukan upacara pecah tanah bagi pembinaan Cafe Mart sekolah berkenaan.

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) negeri, Mohammad Farris Abdul Aziz; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Fadzir Kamruddin dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Kaman Halit.

Sabry berkata, pihak koperasi pula mestilah menjual barangan yang diperlukan oleh pelajar dan juga guru supaya mereka tidak perlu untuk mencarinya di kedai luar.

“Pada masa sama, rebutlah peluang pinjaman tanpa cagaran sebanyak RM50,000 disediakan SKM bagi koperasi sekolah untuk menaik taraf setiap kedai koop,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, adalah sukar bagi setiap pelajar untuk menumpukan perhatian bagi menguruskan sepenuhnya kepada koperasi kerana terikat dengan kerja sekolah.

“Dalam hal ini, lebih baik jika pihak koperasi sekolah melantik seorang pengurus untuk mengendalikan kedai ini secara sepenuh masa,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, guru koperasi perlu mengawasi pentadbiran dan tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pengurus.

Katanya, ini bagi memastikan koop sekolah mampu mengaut keuntungan yang boleh dinikmati oleh ahli-ahlinya dan tidak berlaku salah pengurusan.