Pengarah Penjara Perlis, Penolong Kanan Komisioner Mat Johir Asin berkata, ini menunjukkan tahap integriti dalam kalangan anggota yang bertugas di pusat tersebut berada pada tahap baik.

“Saya percaya masing-masing berusaha untuk memikul tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah,” katanya selepas majlis Penyerahan Penerimaan Tugas Pengarah Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Perlis di Jalan Kok Klang, Chuping, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pe­nahanan seorang warden Pusat Koreksional Perlis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis berhubung kes ra­suah Mac lalu.

Sebelum itu, Mat Johir menyaksikan Pemangku Pengarah Koreksional Perlis, Penguasa Mohd. Sabri Md. Arshad menyerah tugas kepada Pengarah Koreksional yang baharu, Penolong Komisio­ner Hamid Taha.

Hamid Taha, 41, lulusan Pe­ngurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Penjara Terengganu.

Mat Johir berkata, sehingga kini terdapat 13 banduan yang menjalani latihan pemulihan parol sementara seorang lagi Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di negeri ini.

Beliau berkata, tempoh parol yang dilalui setiap banduan terbabit tidak sama malahan ada tiga bulan dan paling lama sembilan bulan.

Katanya, setiap banduan tersebut dibenarkan menetap bersama keluarga masing-masing dan perlu melaporkan diri seperti yang ditetapkan.