Baginda bertitah, seharusnya rakyat tidak hanya mengimpikan untuk menjadi kontraktor utama, membuka restoran dan gerai makan ataupun sekadar mencari peluang pekerjaan semata-mata.

“Pelbagai peluang perniagaan akan wujud dan harus direbut. Dalam sektor pembinaan, ia menawarkan peluang perniagaan dengan kontraktor utama akan memerlukan pelbagai bekalan bahan untuk infrastruktur jalan raya seperti tar, tanah, batu, lori dan pekerja.

“Begitu juga dengan per­khidmatan lain yang bakal wujud seperti perhotelan, logistik dan pengangkutan. Perhotelan secara khususnya turut memerlukan pembekal bagi keperluan perabot, perkhidmatan dobi, pembersihan, tukang paip, penghantaran dan bekalan bahan mentah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pameran Rangkaian Penyelidikan Awam, Swasta dan Keusahawanan di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), di sini semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Amir Md. Noor.

Pada 27 Mac lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan projek berimpak tinggi, Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang bakal mewujudkan sebuah kawasan perindustrian terbesar di negeri ini dan menjadikan Padang Besar sebagai hab logistik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

Tuanku Syed Faizuddin seterusnya bertitah, mereka yang ingin melangkah ke alam keusahawanan, hendaklah membuat penilaian stategik kewangan, tempoh masa menyiapkan projek, jaringan kerjasama, memastikan kualiti adalah setimpal dengan apa yang bakal dibelanjakan serta keuntungan yang dijangkakan.

“Jika kesemua perancangan ini mampu diteliti dan diperhalusi, maka implikasi projek gagal disiapkan atau terbengkalai akan berjaya diatasi,” titah baginda.

Baginda bertitah, untuk menjadi seorang usahawan berjaya, golongan itu harus memiliki kemahiran kepelbagaian tugas dan sentiasa mengkaji peluang perniagaan lain yang boleh dijana melalui bidangnya.

“Sebagai contoh, jika terlibat dalam pembinaan, selain mampu menyiapkan bangunan, mereka juga berpeluang menjadi pembekal bahan bangunan seperti pasir, batu-bata, simen selain aksesori bangunan seperti pagar dan lampu kepada kontaktor lain.

“Ini akan mencambahkan lagi sumber pendapatannya yang selari dengan pekerjaan yang diusahakan. Maka sebab itulah, seorang usahawan itu adalah seorang yang sanggup menanggung risiko, kreatif, inovatif serta perlu konsisten dalam apa yang diusahakan,” titah baginda.

Sempena pameran tersebut, sebanyak 17 usahawan kolej komuniti yang sebahagian daripadanya masih merupakan pelajar mempamerkan produk mereka antaranya jubah dan tudung, produk makanan, fesyen, perhiasan, makanan kesihatan, bakeri dan makanan sejuk beku.