Mana tidaknya setelah sekian lama menyepi dalam arena bola sepak negara, Perlis yang terke­nal dengan jolokan Singa Uta­ra dilihat begitu bersemangat musim ini selepas melalui transformasi bagi mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

Ketika nama Perlis hampir lenyap daripada peta bola sepak Malaysia, seorang ahli perniagaan, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie tampil mengambil alih kerusi panas sebagai Pre­siden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) pada Oktober tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, usahawan muda itu tidak lagi menoleh ke belakang dalam usaha mentransformasikan kembali su­kan bola sepak di negeri ini.

Ahmad Amizal Shaifit tidak ‘lokek’ ber­belanja dalam membawa pemain-pemain bertaraf bintang bagi memperkuatkan Perlis menghadapi saingan Liga Malaysia.

Antara pemain bintang yang sudah mengesahkan untuk bersama Perlis bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim ini ialah Safee Sali, Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya, Khyril Muhymeen, Azmi Muslim dan Amiridzwan Taj Tajudin, Mohd. Nasriq Baharom, pemain skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman dan pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli.

Rakyat negeri ini, nyata teruja dengan perubahan yang cuba dilakukan itu kerana selepas sekian lama, mereka rindu untuk melihat Perlis kembali menjadi pasukan yang digeruni.

Di atas kertas, Perlis dijangka bakal menjadi pencabar utama Liga Perdana dengan sasaran mereka sudah pastinya untuk naik ke Liga Super musim depan selain layak dalam saingan Piala Malaysia tahun ini.

Malah dalam dua aksi pemanas badan menentang Kedah dan Pulau Pinang di Stadium Tuanku Syed Putra baru-baru ini menyaksikan puluhan ribu memenuhi ge­langgang keramat Singa Utara itu.

Ahmad Amizal ketika ditemui baru-baru ini berkata, musim ini bakal menjadi tahun kebangkitan Singa Utara selepas sekian lama menyepi dalam arena bola sepak negara.

“Kita akan melakukan yang terbaik supaya tidak mengecewakan penyokong Singa Utara yang selama ini begitu dahagakan kejayaan selain ingin mengembalikan zaman kegemilangan Perlis,” katanya.