Menteri Besar, Datuk Seri Az­lan Man sehubungan itu ber­kata, segala elemen dan kempen pihak-pihak tertentu yang menabur bibit-bibit perpecahan dan kebencian demi kepentingan me­reka harus ditolak.

Beliau mengingatkan bahawa segala pencapaian negara pada masa ini adalah disebabkan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan bangsa bersatu-padu sejak 60 tahun dahulu.

“Justeru cabaran kita adalah sejauh mana untuk kita terus dapat mengekalkan elemen perpaduan ini.

“Berhati-hatilah kerana kini wujud kempen benci-membenci sesama kita yang kini sudah jadi kebiasaan sehingga sikap tole­ransi semakin terhakis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Program Negaraku Sehati Sejiwa Peringkat negeri yang dihoskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri dan para pegawai kanan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Azlan seterusnya menarik per­­hatian terhadap elemen sektarian atau perang agama sesama sendiri yang telah mengakibatkan beberapa negara di Asia Barat kini menuju kehancuran.

“Sebagai contoh di Iraq, Ye­men dan Syria, apabila konflik dalam agama Islam itu dikaitkan dengan politik sehingga berlakunya perang saudara antara puak Sunni dan Syiah.

“Justeru kempen benci membenci antara kumpulan dan keturunan harus dicantas sebaliknya wujudkan semula sikap toleransi sesama kita,” katanya.