Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

“Beta mendoakan kita semua sentiasa dipelihara dan dilimpahi rahmat Allah, diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan dalam tahun 2018,” titah Tuanku Syed Faizuddin pada majlis tersebut.

Sepanjang 2017, Tuanku Syed Faizuddin Putra telah turut menerima beberapa pengiktirafan di peringkat antarabangsa, terma­suklah Anugerah Kehormat Tertinggi berupa Pingat International Al-Farabi Friend’s Club daripada Al-Farabi Kazakh National University di Almaty, Kazakhstan dan ‘Humanitarian Award’ daripada Malaysia-Canada Business Council selain menerima ‘Honorary Guest Diploma’ daripada Baku Higher Oil School (BHOS) Azerbaijan.

Baginda yang merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam jurusan ekonomi dari La Trobe University Melbourne dan pernah berkhidmat dengan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) selama 12 tahun, termasuk hampir tujuh tahun mengetuai pejabat MAS di Madrid dan Zurich dan turut dilantik sebagai Penaung Japan Halal Corporation (JHC) yang berpusat di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Tahun ini juga menyaksikan baginda merupakan sebagai salah seorang kerabat diraja dunia yang pertama mengetuai sebuah misi delegasi kemanusiaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi melawat dan menyampaikan sumbangan sendiri kepada mang­sa pelarian Rohingnya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada 15 dan16 Oktober lalu. – BERNAMA