Program tersebut dianjurkan bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-75 baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Kolej Komuniti Arau, Norasmah Saad serta para pegawai kanan beliau.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Bersempena kunjungan tersebut, baginda turut berkenan merasmikan sebuah kafe yang diberi nama ‘Grandos Cafe’.

Kafe itu dikendalikan oleh para pelajar di bawah bimbingan tenaga pengajar berpengalaman Kolej Komuniti Arau yang beroperasi di perkarangan hadapan kolej tersebut dan turut dibuka untuk kunjungan orang ramai.

Dalam pada itu, antara objektif utama program tersebut diadakan ialah sebagai platform bagi mengumpulkan semula bekas pelajar kolej tersebut selain mengeratkan kembali hubungan silaturrahim sesama mereka.

Program itu turut mendapat kerjasama MAIPs apabila di akhir program baginda diiringi para warga kerja, alumni dan pelajar Kolej Komuniti Arau berbasikal sejauh 12 kilometer bagi menyantuni beberapa buah rumah asnaf terpilih bagi menyalurkan bantuan. - UTUSAN ONLINE