Dalam masa sama, baginda turut mengucapkan tahniah kepada keluarga besar MAIPs yang bertungkus-lumus memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan setiap program.

Selain itu, baginda juga melihat pelbagai inisiatif dan daya usaha semua jabatan di negeri ini dalam meningkatkan kredibiliti dan nama baik masing-masing.

Baginda bertitah, tahun lalu telah menyaksikan beberapa perubahan dan lonjakan positif dalam pencapaian hala tuju MAIPs dan semua jabatan terbabit termasuklah dengan menca­tat sejarah sebagai majlis agama Islam pertama di negara ini yang dianugerahkan Sijil Pematuhan Standard Accounting for Government Agencies (SAGA).

“Lebih manis apabila MAIPs juga menjadi satu-satunya agensi kerajaan di Perlis sebagai penerima anugerah ini. Selain itu, antara kejayaan lain adalah dengan pelaksanaan projek mercu tanda MAIPs seperti perasmian bangunan Pusat Pengurusan Jenazah Darul Abrar MAIPs, di Kubang Gajah, Arau yang menggunakan dana wakaf,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli dalam majlis Aspresiasi Perkhidmatan Cemerlang 2017 bagi jabatan dan agensi agama Islam negeri ini di Kelab Golf Putra, Batu Pahat di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.

Dalam majlis tersebut, bagin­da turut berkenan menyampaikan anugerah cemerlang dan keterampilan kepada kakitangan MAIPs; JAIPs; Jabatan Mufti nege­ri; Jabatan Kehakiman Syariah negeri dan pejabat Tuanku Raja Perlis.

Selain itu, Utusan Malaysia dan beberapa agensi media lain seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama); Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Nanyang Siang Pau di negeri ini turut menerima anugerah khas yang disampaikan sendiri oleh Raja Muda Perlis dalam suasana santai di padang kelab golf berke­naan.