Tambahan pula berbuat amalan baik di bulan Ramadan yang mulia ini sangat dituntut bagi melipatgandakan lagi pahala.

Berikutan itu program Ziarah Ihya Ramadan Majlis Agama Islam anjuran Majlis Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Pulau Koh Sarai Besar dan Pulau Tanjung Keling di Wilayah Satun, Thailand baru-baru ini sangat bertepatan dengan matlamat itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Di Pertua MAIPs mengetuai delegasi lawatan sehari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), Laksamana Pertama Zulkarnain Mohd. Omar; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan ke­tua-ketua jabatan.

Menurut Mohd. Nazim, program Ziarah Ihya Ramadan yang merupakan kali ketiga dilaksanakan merupakan kelestarian daripada kerjasama dan jaringan MAIPs dengan enam Wilayah Andaman di selatan Thaiiand.

“Ini membolehkan MAIPs me­nyampaikan beberapa sumbangan daripada Dana Wakaf Tunai, Tabung Baraatuzimmah (t-BAZ) selain sumbangan zakat yang diamanahkan oleh masyarakat untuk diagihkan kepada rakan-rakan muslim di selatan Thailand,” katanya.

Beliau berkata, program ini yang turut melibatkan agensi lain se­perti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Perlis termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Dalam lawatan tersebut, kesemua delegasi menaiki bot yang disediakan oleh Maritim Malaysia dari Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Perlis.

Pada pertengahan perjalanan te­lah bermula penyampaian sumba­ngan berupa buah tamar dan aktiviti masjid bagi komuniti Pulau Panjang dan Pulau Puju.

Kesemua delegasi ini terpaksa menempuh perjalanan dengan menggunakan bot Maritim Malaysia kira-kira sejam untuk sampai ke Pulau Koh Sarai Besar, Satun.

Pulau yang dihuni 90 peratus penduduk Islam ini hanya bergantung hidup sebagai nelayan, pekebun getah dan petani ini hanya berkeluasan kira-kira dua kilometer persegi sahaja.

Kesemua ahli delegasi perlu menaiki motosikal roda tiga yang merupakan pengangkutan utama penduduk pulau ini untuk sampai ke Masjid Nurul Ibadah yang perjalanan lebih kurang beberapa minit.

Suasana di persekitaran menjadi meriah apabila ia melibatkan sepenuhnya penduduk kampung yang kebanyakannya masih lancar berbahasa Melayu.

Dalam majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan kepada asnaf iaitu anak yatim seramai 11 orang, orang sakit miskin (empat) dan orang tua miskin (29).

Selain itu disampaikan sumba­ngan mesin penapis air minuman serta sumbangan baik pulih sekolah agama dan tadika di pulau berkenaan manakala Unimap, UiTM dan KUIPs menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan kanak-kanak tadika.

Pulau Tanjung Keling menjadi lokasi kedua bagi rombongan ini menghulurkan sumbangan.

Sempena lawatan ini, turut disumbangkan dua tangki air kepada Sekolah Tanjung Keling dan Sekolah Tanjung Huma, almari dan buku rujukan Bahasa Malaysia daripada Unimap, UiTM dan KUIPs.

Rombongan juga turut mengerjakan solat tarawih di Masjid Bukit Bunga Satun dan menyampaikan sumbangan untuk aktiviti masjid berkenaan.